Editor: HASHNAN ABDULLAH.
DALAM hidup ini, setiap manusia ada pilihan yang dia kena buat. Tidak kiralah, sama ada pilihan itu dibuat secara sukarela atau terpaksa.
Pilihan yang dibuat tidak seharusnya diiringi oleh alasan. Ini kerana, ia akan menjadi satu topik perbualan yang tidak akan ada kesudahan sebagaimana lagu sindiran popular, Bangau Oh Bangau.
Ini sejajar yang ditegaskan oleh seorang penceramah IQP Solutions, Abdul Latif Saharuddin (Coach Latif) di Kursus Lanjutan Keusahawanan anjuran Teraju Ekonomi Usahawan Asnaf Sdn. Bhd. (Teras) pada hujung bulan lalu.
“Jangan bagi alasan bila buat pilihan sendiri. Tidak perlu jadi seperti lagu Bangau kerana ia tidak akan memajukan bisnes yang kita sedang usahakan. Jadi, usah membangau lagi,” katanya.
Lebih 20 orang usahawan asnaf sekitar Selangor menyertai kursus selama dua hari yang bermula 29 Januari lalu.
Kursus yang diadakan di Kuala Lumpur itu memberi tumpuan kepada aspek pengurusan jatidiri Islamik, pengurusan organisasi, pemasaran dan kewangan.
Mengulas lanjut, Coach Latif berkata, apa sepatutnya dilakukan adalah merasa bangga dengan pilihan yang diambil.
Ini kerana, beliau menambah, sikap tersebut akan menjadikan kita sentiasa bersemangat untuk membuktikan pilihan yang diambil itu tepat.
“Sama ada pilihan itu diambil kerana sukarela atau terpaksa, bukan suatu yang utama, tetapi kita kena bangga dengan pilihan yang kita ambil itu,” katanya.
Pandangan sama turut diutarakan oleh seorang lagi penceramah IQP Solutions, Mohd. Zulhazri Azmi (Coach Zul) dengan menyentuh aspek hak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap usahawan berhak untuk memiliki apa sahaja yang diperlukan bagi memastikan bisnesnya mampu berkembang maju.
“Kita ambil apa yang menjadi hak kita atau dengan kata lain, hak itu adalah sesuatu yang benar-benar berguna atau boleh kita pakai seratus peratus untuk memajukan bisnes kita,” katanya.
Dalam masa sama, coach Zul berkata, para usahawan juga perlu memastikan kesihatan diri sentiasa terjaga dalam menguruskan bisnes kita.
Ini kerana, beliau percaya hanya dengan kesihatan diri yang baik akan sentiasa memberikan seseorang usaha bersemangat untuk memajukan bisnesnya.
“Kerja keras tanpa memikirkan aspek kesihatan diri, bukan hanya boleh menjejaskan bisnes tetapi juga akan memudaratkan diri sendiri,” katanya.