HASHNAN ABDULLAH
MINUMAN kopi atau teh campuran herba tempatan cukup laris di pasaran. Lebih-lebih lagi, bila minuman kesihatan tersebut tampil dengan campuran beberapa jenis herba yang popular.
Populariti itu disokong pula dengan faktor yang herba-herba berkenaan bukan hanya sukar untuk diperoleh di pasaran, tetapi juga agak sulit proses penyediaannya.
Antara jenama yang popular adalah KH Kopi. Minuman kesihatan itu bukan hanya tampil dengan campuran tujuh jenis herba tradisional popular.
Jenama yang berasal dari Kangar, Perlis itu menggunakan Mengkudu, Halia, Misai Kucing, Tongkat Ali, Mahkota Dewa, Baginda Ali dan Ubi Jaga.
“Namun apa yang lebih penting adalah kopi kami ini akan melalui proses ujian makmal setiap dua tahun sekali dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pihak KKM juga akan menurut membuat penilaian terhadap persekitaran premis kilang dan mesin yang ada di kilang kami,” kata pemilik jenama kopi itu, Qauliah Nur Atikah Annuar.
Antara produk keluaran KH Kopi di pasaran adalah KH Kopi Extra Herba, KH Kopi Minuman Campuran Herba Hutan dan KH Kopi Botol.
Beliau yang ditemu bual melalui Google Meet, baru-baru ini itu menyifatkan usaha sedemikian penting bagi memastikan kualiti minuman kesihatan keluarannya sentiasa terjamin.
Malah, tambahnya lagi, ia juga sejajar dengan hasrat pihak beliau untuk membawa jenama kopi tersebut keluar negara.
“Apa yang menjadi penekanan kami adalah memastikan kualiti minuman kopi kami tidak berubah sejak ia mula masuk ke pasaran,” katanya.
Dalam temu bual yang sama, Qauliah Nur Atikah turut memberitahu bahawa produk terbarunya adalah dalam bentuk uncan Teh.
Kata beliau, usaha tersebut adalah bagi memenuhi permintaan pelanggan yang tidak begitu menggemari minuman kopi atas pelbagai alasan.
“Ini kerana, ada sesetengah pelanggan kami yang tidak begitu menyukai kopi dan lebih gemar kepada berbentuk Teh, walaupun ia agak leceh sikit dari segi penyediaanya,” katanya.