HASHNAN ABDULLAH
PEMASARAN dalam talian (digital marketing) bukan suatu yang baru kepada golongan usahawan. Trend tersebut telah muncul sebelum dunia dikejutkan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).
Boleh dikatakan setiap usahawan ada laman sosial bisnes masing-masing. Cuma penekanan tersebut sekadar sampingan kerana trend masyarakat pembeli masih lagi mahukan urusan jual beli secara bersua muka.
Justeru, bila PKP dilaksanakan, majoriti usahawan tidak ada masalah untuk beralih. Tetapi, malangnya banyak perkara yang mereka tidak tahu bagi memastikan urusan jual beli terus berjalan lancar.
Antara yang berdepan situasi itu adalah pemilik KH Kopi, Qauliah Nur Atikah Annuar. Beliau mengakui sebelum PKP, ada sertai kelas pemasaran digital, khususnya berkaitan platform Shopee.
“Jualan masa PKP memang naik tetapi banyak perkara yang saya tidak tahu atau mahir dalam mengurus bisnes secara digital tersebut.
“Untuk itu, saya bertekad untuk menyertai kelas pemasaran digital, dan antaranya adalah anjuran Mara Perlis,” katanya.
Beliau yang ditemui secara Google Meet di Kuala Lumpur, baru-baru ini menyifatkan platform pemasaran digital turut memberi peluang untuk peniaga mengembangkan perniagaan tanpa mengira sempadan.
Tambahan, katanya lagi, dalam suasana dunia masa kini yang lebih majoriti penduduk lebih gemar membeli secara dalam talian berikutan penularan wabak penyakit Covid-19.
“Apa yang perlu dilakukan adalah jangan berhenti belajar kerana ilmu dunia bisnes online ini sentiasa berkembang,” katanya.
Dalam masa sama, Qauliah Nur Atikah memberitahu, pihak beliau kini dalam proses untuk memperoleh kebenaran dari agensi kerajaan berkenaan bagi membolehkannya meneroka pasaran luar negara.
“Ada permintaan dari beberapa negara luar terhadap produk keluaran dan antara yang terkini adalah dari Indonesia dan Australia,” katanya.